Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026
10 Mac 2026|Selasa
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA2026) yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Dengan tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, yang menzahirkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting wanita sebagai pemangkin utama kepada pembentukan keluarga sejahtera, masyarakat berdaya tahan dan negara yang mampan.
Bersempena sambutan tersebut, pelaksanaan PRISMAnita telah diumumkan, iaitu Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita, yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita.
Sementara itu YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapan aluannya telah menyatakan bahawa kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha memperkasa golongan wanita sama ada dalam bidang ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan.
Turut disampaikan ialah, beberapa anugerah berprestij kepada mereka yang berperanan aktif dalam memperjuangkan hak, kesejahteraan dan kemajuan wanita iaitu Anugerah Ikon Wanita 2026, Anugerah Syarikat Mesra Wanita 2026 dan Anugerah NGO Pemerkasa Komuniti Wanita 2026.
Turut hadir isteri YAB Perdana Menteri, YABhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Jemaah Menteri, Perwakilan Asing serta Pegawai Kanan Kerajaan Jabatan Persekutuan dan Negeri.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Kelantan
11 Februari 2026
Pelancaran Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Kelantan telah disempurnakan oleh YM Tunku Sofiah Larasih binti Dato’ Tunku Zainol Rashid, Pengarah Bahagian Usahasama Strategik, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mewakili YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah JPW di Laman Wanita, Kota Bharu anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Kelantan pada hari ini.
Seiring dengan pelaksanaan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, Jabatan Pembangunan Wanita komited untuk terus mempergiat inisiatif yang berfokus kepada peningkatan kapasiti wanita, perlindungan daripada keganasan, pengukuhan kesejahteraan keluarga dan penggalakan penyertaan wanita dalam bidang strategik termasuk keusahawanan, kepimpinan dan ekonomi berasaskan kreativiti.
Pengisian sambutan pada hari ini, memberi penekanan kepada konsep Ekonomi Jingga yang menumpukan kepada kreativiti, warisan dan inovasi sebagai sumber nilai dan pertumbuhan ekonomi. Bagi menterjemahkan konsep ini secara praktikal dan berimpak, penganjur telah mewujudkan empat (4) zon interaktif yang dikenali sebagai “HER Creative Economy Zone” yang merangkumi Zon Batik Sublimation Project , Zon HER Lens Empowerment, Zon HER Creative Graphic dan Zon HER Mother Care sebagai ruang pendedahan, pembelajaran dan interaksi secara langsung bersama peserta pada hari ini.
Pendekatan ini juga menzahirkan komitmen PPWN Kelantan untuk memastikan program yang dilaksanakan bersifat praktikal, relevan dan mampu memberi manfaat berterusan kepada wanita Kelantan selari dengan aspirasi pemerkasaan wanita di peringkat nasional.
Turut hadir bersama Puan Nik Farhan binti Muhaimin, Pengarah PPWN Kelantan, Encik Che Samsuzuki bin Che Noh, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan.
Program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Perak Tahun 2026.
5 Februari 2026
Program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Faridah Awang, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang diadakan sekitar daerah Perak.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengiktiraf dan menghargai peranan wanita yang telah banyak memberi jasa kepada kehidupan keluarga, masyarakat dan pembangunan negara.
Tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara” telah dipilih pada tahun ini untuk mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pemerkasaan wanita melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak khususnya sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti setempat.
Program ini akan dihadiri seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada kumpulan sasaran iaitu golongan wanita, orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penjawat awam.
#KASIHKPWKM
#KitaKanKeluarga
#MalaysiaMADANI
#MADANIBEKERJA
#MemartabatWanitaMemperkukuhNegara
#SHWA
#taatsetia
#RealisasiReformasi
#Rutin2Reformasi
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang
4 Februari 2026
Peranan wanita sangat penting dalam menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia MADANI.
Bertepatan dengan tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang telah diadakan pada hari ini dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pemerkasaan wanita bukan sekadar agenda Kementerian, tetapi merupakan tanggungjawab bersama melalui pendekatan Whole of Nation.
Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita juga terus memperkasa peranan wanita menerusi program dan inisiatif yang berfokus, inklusif dan berimpak tinggi melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat.
Dalam majlis ini, turut diadakan Ted Talk berkaitan strategi kepimpinan dan profesionalisme wanita serta Forum berkaitan peranan Kerajaan dalam memperkasa ekonomi jingga selain perkongsian interaktif. Program juga dimeriahkan dengan reruai- reruai jualan hasil produk usahawan wanita.
Turut sama hadir dalam majlis ini ialah Yang Berbahagia Dato’ Hj Baderul Amin Bin Abdul Hamid, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Yang Berusaha Dr. Faridah Binti Awang, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wakil – Wakil Kementerian dan Agensi Peringkat Persekutuan, Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Ahli Majlis serta Pengarah Bahagian Majlis Bandaraya Seberang Perai.
YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah merasmikan Program PERANTIS: Women Artisan Leadership Program (WALP) pada hari ini di daerah Kuching.
Program ini merupakan pemangkin buat pengamal kraf, usahawan dan pereka kreatif untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
Selain itu program ini juga dirangka khas untuk membentuk jati diri kepimpinan wanita yang berwibawa, membina keyakinan dalam membuat keputusan strategik serta melakukan anjakan paradigma daripada usahawan berstatus quo ke persaingan global.
JPW terus komited dalam memperkasa agenda kepimpinan wanita menerusi program PERANTIS bagi melakar masa hadapan yang lebih gemilang buat artisan wanita Malaysia.
Turut bersama YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
- "Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara" Tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026
- Taklimat Dan Lawatan Kerja YB Timbalan Menteri KPWKM Ke Jabatan Pembangunan Wanita
- Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo
- Helang Langkawi Bersinar Oren: Simbol Solidariti Hentikan Keganasan Terhadap Wanita
