PROGRAM THE 3RD FAMILY BUSINESS SUSTAINABILITY & ENTREPRENEURSHIP (FBSEC) 2026
23 April 2026|Khamis
YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah merasmikan Program the 3rd Family Business Sustainability & Entrepreneurship 2026 anjuran BG Capital Holding (tokoh PERANTIS) pada hari ini yang telah berlangsung pada 22 April hingga 23 April 2026 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Program ini merupakan kesinambungan daripada Program “Women-Owned Family Business Sustainability (WFBS)” yang merupakan salah satu projek PERANTIS bagi tahun 2025.
Projek ini telah sempurna dilaksanakan pada tahun lepas dan memanfaatkan seramai 30 orang peserta. Susulan dari itu, 15 orang peserta telah terpilih untuk berkongsi kisah serta pengalaman mereka dalam projek penerbitan buku “Kisah 15 Usahawan Wanita: Pencetus Legasi Perusahaan Keluarga.”
Buku ini bakal memberi inspirasi kepada usahawan-usahawan wanita lain dan dijangkakan akan dilancarkan pada hujung tahun 2026.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan agensi lain dibawahnya komited melaksana dan menyelaras pelbagai program pemerkasaan wanita di semua peringkat kumpulan sasar seluruh negara dalam usaha untuk membantu dan memastikan kebajikan wanita sentiasa terjamin.
Hadir bersama YBhg. Dato' Sri Rohani binti Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Pembangunan, Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) serta YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita.
SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA (SHWA) 2026 PERINGKAT NEGERI MELAKA
21 April 2026|Selasa
YBrs. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Puan Hanani Sapit telah menyempurnakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dewan World Youth Foundation, Ayer Keroh, Melaka pada hari ini.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada setiap 8 Mac merupakan wadah penting untuk menghargai peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai lapangan kehidupan. Tema tahun ini, “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, amat signifikan kerana kemajuan wanita berkait rapat dengan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan negara.
Seiring dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13, agenda pemerkasaan wanita kini turut memberi perhatian kepada Ekonomi Jingga yang berasaskan kreativiti, warisan dan inovasi. Justeru, pengisian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Melaka pada hari ini yang memberi tumpuan kepada Ekonomi Jingga adalah amat bertepatan dengan keperluan semasa.
Sepanjang program berlangsung, terdapat perkongsian beberapa slot program, antaranya slot Terapi Ketawa yang memberi penekanan kepada kesejahteraan emosi, slot Ekonomi Jingga yang membuka ruang kepada peluang penjanaan pendapatan, serta slot Keterampilan dan Keyakinan Diri yang memberi fokus kepada pembangunan sahsiah wanita.
Pengisian program seperti ini amat bermakna kerana ia menggambarkan bahawa agenda pemerkasaan wanita perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Usaha memperkasa wanita tidak terhad kepada aspek ekonomi semata-mata, tetapi turut merangkumi kesejahteraan mental, pembinaan keyakinan diri dan pengukuhan kapasiti diri agar wanita dapat terus maju, berdaya saing dan menyumbang secara aktif dalam masyarakat.
Hadir bersama YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah JPW, Datuk Mohd Ridhwan Bin Mohd Ali Pengerusi, World Youth Foudation, Puan Nor Khalida Binti Kasim, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka, Dato' Normaziah Binti Sheikh Mohamed, Presiden Kelab Ikon Wanita Malaysia serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan, Jabatan dan Agensi.
PERASMIAN PERSIDANGAN 5TH MALAYSIAN ADVANCES IN WOMEN’S HEALTH CONGRESS 2026
17 April 2026|Jumaat
YBrs. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Puan Hanani Sapit, telah menyempurnakan majlis perasmian 5th Malaysian Advances in Women’s Health Congress 2026 yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur.
Perhimpunan berprestij ini menghimpunkan pakar perubatan, penyelidik, ahli akademik serta pengamal kesihatan dari dalam dan luar negara bagi membincangkan perkembangan terkini dalam bidang kesihatan wanita.
Program ini berteraskan tema “Revisiting the Fundamentals” dengan penekanan kepada “Investing in Women’s Health”, yang memberi pendedahan kepada kaedah rawatan terbaharu serta meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan wanita Malaysia kepada peserta persidangan serta memberi penekanan terhadap rawatan kesihatan wanita, termasuk kitaran hormon, kanser, kesuburan dan menopos.
Sepanjang persidangan berlangsung, pelbagai sesi ilmiah, pembentangan kajian serta forum pakar telah diadakan bagi membincangkan isu-isu kritikal termasuk kesihatan reproduktif, penyakit tidak berjangkit dalam kalangan wanita serta pendekatan penjagaan kesihatan berteraskan bukti.
Majlis perasmian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa agenda kesihatan wanita selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang inklusif dan mampan.
KASIHNITA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERKASA WANITA AKAR UMBI
16 April 2026|Khamis
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri hari ini telah merasmikan Majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 di Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Program KasihnITa dirancang khusus untuk membina kapasiti ibu tunggal melalui tiga modul teras yang komprehensif. Modul pertama ialah, Modul Kemahiran Perundangan dan modul kedua ialah Modul Pengurusan dan Literasi Kewangan. Modul ketiga pula ialah Modul Pembangunan Psikososial.
Pada tahun 2025, program ini telah mencatat pencapaian yang sangat memberangsangkan iaitu hampir 1,900 ibu tunggal telah menyertai program ini di enam zon seluruh negara. Dalam tempoh yang sama juga sebanyak 90 kes bantuan guaman berjaya diuruskan, dengan bantuan peruntukan yang disalurkan kepada ibu tunggal untuk menuntut serta mempertahankan hak mereka.
Seiring dengan keberkesanan yang ditunjukkan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi pelaksanaan Program KasihnITa pada tahun 2026. Program ini akan diperluas ke 13 negeri dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 ibu tunggal di seluruh negara. Pendaftaran program telah dibuka mulai 1 Februari 2026 dan akan berakhir pada 20 April 2026.
KPWKM sentiasa komited merangka dan melaksanakan inisiatif yang benar-benar memberi manfaat, supaya lebih ramai wanita, khususnya ibu tunggal, dapat dibantu untuk bangkit, berdikari dan membina masa hadapan yang lebih baik.
Turut hadir YB Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah JPW dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.
JEJAK POTENSI, RAIKAN DEDIKASI: WANITA TERUS DIPERKASA
14 April 2026|Selasa
YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri hari ini merasmikan Program Inspirasi Wanita: Menjejak Potensi Menghargai Dedikasi, anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Hotel Ideas, Kuala Lumpur.
Tema “Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi” bertepatan dengan semangat PERANTIS di mana setiap tokoh dan peserta mempunyai potensi yang tersendiri dan melalui program ini, potensi tersebut telah digilap melalui pengalaman pembelajaran, bimbingan mentor serta pendedahan kepada pelbagai perspektif kepimpinan. Komitmen yang ditunjukkan sepanjang program ini membuktikan bahawa wanita berupaya memikul tangggungjawab kepimpinan dengan cemerlang, serta mampu menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Program ini diadakan bagi meraikan tokoh-tokoh wanita yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi serta kepimpinan yang cemerlang sepanjang pelaksanaan program PERANTIS tahun 2025.
Kejayaan PERANTIS pada tahun 2024 amat memberangsangkan. Seramai 1,247 peserta telah menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita dalam 10 bidang utama, meliputi kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan. Program ini diteruskan pada tahun 2025 dengan peruntukan RM 5 juta yang melibatkan 100 tokoh wanita dan 4,129 peserta. Pada tahun 2026, dengan peruntukan RM 4 juta, program ini menyasarkan penglibatan 80 tokoh wanita dan 4,000 peserta.
Hadir bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Lim Hui Ying, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBhg. Datin Safida Zalma Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, YBrs. Mohd Daud Mohd Arif, Ketua Pengarah JPW, YBrs. Puan Hanani Binti Sapit, dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.
- Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Johor
- Program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2026 Peringkat Negeri Terengganu
- Sinergi KASIH Wanita: Memperkasa Akar Umbi Sektor Ketiga
- Lawatan Kerja Rasmi Ketua Setiausaha, KPWKM Ke PRISMAnita, Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan
