KASIHNITA PERKUKUH JARINGAN SOKONGAN DAN PEMERKASAAN IBU TUNGGAL
19 Julai 2026
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri hari ini merasmikan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnlTa) 2026 Peringkat Negeri Sarawak sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa golongan ibu tunggal agar lebih berdaya saing, berdikari dan berupaya meningkatkan kesejahteraan keluarga.
Dalam ucapannya, Program KasihnlTa bukan sekadar platform pembangunan kemahiran, malah menjadi medan membina keyakinan diri, memperkukuh daya tahan serta membuka peluang kepada ibu tunggal untuk meningkatkan taraf sosioekonomi melalui ilmu pengetahuan, kemahiran dan jaringan sokongan yang berterusan.
Program KasihnlTa 2026 Peringkat Negeri Sarawak telah menerima seramai 150 peserta berjaya dipilih bagi mengikuti program kali ini. Penyertaan yang memberangsangkan ini membuktikan kesungguhan ibu tunggal untuk terus menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperbaiki taraf kehidupan walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan masa, tanggungjawab keluarga serta faktor jarak dan mobiliti.
YB Menteri turut menegaskan bahawa Kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif pemerkasaan wanita bagi memastikan mereka terus diberi peluang meningkatkan kapasiti diri serta memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara.
Diakhir ucapannya, semua peserta diseru untuk menjadikan Program KasihnITa sebagai titik permulaan untuk terus bangkit serta KPWKM akan terus memastikan agenda memperkasa ibu tunggal kekal menjadi keutamaan supaya mereka bukan sahaja mampu berdikari, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan keluarga yang lebih sejahtera dan masyarakat yang lebih inklusif serta berdaya tahan.
Turut hadir Ketua Pengarah JPW, YBrs Puan Hanani Sapit dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.
