PROGRAM KASIH IBU TUNGGAL (KasihnITa) 2026 FASA 2- PEMBANGUNAN PERINGKAT NEGERI SEMBILAN
Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Fasa 2- Pembangunan Peringkat Negeri Sembilan telah berlangsung dengan jayanya selama tiga (3) hari bermula pada 24 hingga 26 Julai 2026 bertempat di Quest Hotel Midport, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Program yang telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) ini merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam memperkasa ibu tunggal melalui pembangunan kapasiti yang holistik menerusi tiga modul teras, iaitu Pembangunan Psikososial, Kemahiran Perundangan serta Pengurusan dan Literasi Kewangan.
Hari pertama program memberi tumpuan kepada Modul Pembangunan Psikososial, yang dikendalikan oleh Team PCRS bersama Coach Airol Irwan. Peserta dikongsikan dengan aktiviti pengenalan dan ice breaking bagi membina keyakinan diri, meningkatkan motivasi dan mengukuhkan hubungan sesama peserta.
Hari kedua diteruskan dengan Modul Kemahiran Perundangan yang memberi pendedahan berkaitan sistem perundangan, prosedur dan etika di mahkamah, proses perbicaraan serta penghujahan, di samping persediaan tuntutan di mahkamah.
Hari ketiga memfokuskan kepada Modul Pengurusan dan Literasi Kewangan, yang memberi penekanan kepada pengurusan aliran tunai, pengurusan kredit, perancangan kewangan keluarga dan pengurusan kewangan secara berhemah. Pengisian modul ini bertujuan meningkatkan literasi kewangan peserta agar mereka lebih berkemahiran mengurus kewangan keluarga, membuat keputusan kewangan yang bijak serta merancang masa depan yang lebih mampan.
Program ini turut memperlihatkan komitmen berterusan KPWKM dan JPW dalam memastikan golongan ibu tunggal terus diperkasa, berdikari dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan serta pembangunan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
