Client Charter Achievement
Soalan Skuad WAJA
Apakah Maksud Skuad WAJA
WAJA bermaksud ‘wanita anti jenayah’ dan mempunyai semangat kuat dan kental (waja). Manakala Skuad WAJA pula bermaksud individu yang berusia 18 tahun ke atas, dan telah dilatih dengan menggunakan Modul Skuad WAJA iaitu merangkumi aspek membantu dengan teknik (E.A.R.S) serta informasi berkaitan dengan isu isu keganasan dan jenayah yang sering melibatkan wanita sebagai mangsa.
Apakah Objektif Skuad WAJA
- Menjadi agen WAJA (wanita anti jenayah dan bersemangat kental dalam usaha menangani keganasan terhadap wanita) dalam komuniti;
- Memperkasa komuniti melalui aktiviti psikososial dalam manangani isu keganasan;
- Membantu dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni.
Apakah Peranan Skuad WAJA
Peranan Skuad WAJA ialah untuk memperkasa komuniti :
- Menggunakan kemahiran E.A.R.S dan pengetahuan tentang WAJA serta mematuhi nilai dan etika sebagai seorang sukarelawan;
- Menerapkan amalan positif dalam diri, keluarga dan komuniti agar menjadi contoh teladan yang baik;
- Membuat rujukan pakar hospital kerajaan atau mana - mana agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau agensi kerajaan yang lain, atau badan bukan kerajaan (NGO)
- sekiranya individu yang dibantu memerlukan bantuan segera.
Apakah Yang Dipelajari Melalui Modul Skuad WAJA
Modul Skuad WAJA mengandungi dua (2) bahagian iaitu :
E.A.R.S
Bahagian ini memberi penekanan terhadap aspek kemahiran yang diajar sebagai asas kemahiran dalam proses menolong. Terdapat empat (4) aspek utama telah dikenal pasti dalam proses membantu iaitu Empati (Empathy), Attensi (Attention), Respon (Response) dan Sokongan (Support). Keempat-empat elemen bantuan ini adalah sangat penting dan mudah untuk diaplikasikan oleh setiap Skuad WAJA.
- Empati adalah keupayaan individu atau proses kognitif dalam memahami seseorang dari sudut pandangan individu tersebut.
- Attensi atau perhatian pula adalah keaktifan jiwa yang diperlukan untuk memusatkan konsentrasi kepada isu yang dikongsi.
- Respon digunakan untuk menjelaskan suatu hal yang dicetuskan dalam terjadinya respon tertentu, dan berbentuk gerak balas atau tingkah laku.
- Sokongan iaitu sokongan sosial yang merupakan kesamarataan maklumat yang mendorong individu mempercayai bahawa mereka dijaga, dihargai dan disayangi.
Wanita Anti Jenayah (WAJA)
Bahagian ini pula berperanan untuk memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan dalam kalangan individu dan masyarakat tanpa mengira jantina mengenai isu-isu jenayah wanita terutamanya dalam menangani keganasan terhadap wanita. Antara tajuk yang sentuh ialah :
- Peranan gender
- Gangguan seksual
- Anti pemerdagangan
- Jenayah siber
- Keldai dadah
- Rogol dan cabul
- Akta Keganasan Rumahtangga (AKRT)
Berapa lama tempoh program Skuad WAJA ini dijalankan
Pelaksanaan Modul Skuad WAJA ini telah ditetapkan selama sehari bersamaan dengan 8 jam
Sekiranya Berminat, Macamana Cara Untuk Menyertai
Untuk makluman, program ini akan dijalankan di seluruh negara melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN). Tuan/ puan boleh menghubungi PPWN yang berdekatan sebagaimana alamat yang tertera di dalam laman web Jabatan Pembangunan Wanita https://www.jpw.gov.my